Thursday, March 5, 2009

Perkembangan Kognitif Kanak-Kanak Cacat Penglihatan

1.0 Pengenalan

Perkembangan kognitif merupakan suatu elemen asas yang harus dipenuhi bagi melengkapkan perkembangan seseorang kanak-kanak. pemberatan yang sewajarnya mesti diberikan sejak awal kelahiran (Kail, 1998, 2001). Walaupun begitu ada kajian yang dijalankan menunjukkan rangsangan bagi perkembangan kognitif boleh dirangsang sejak bayi di dalam kandungan. Pemerolehan unsur kognitif bagi kanak-kanak cacat penglihatan sangat penting untuk memastikan perkembangannya selari dengan skala perkembangan kanak-kanak normal. Pemerolehan ini juga memerlukan penelitian agar jarak ketinggalan jika dibaut perbandingan dengan kanak-kanak normal dapat dikurangkan. Menurut Hallahan & Kauffman (1994) penafsiran haruslah dilakukan dengan menggunakan beberapa ujian kepintaran yang mempunyai kesahan yang boleh dipercayai agar sesuatu keputusan yang dibuat mempunyai relevensi dengan pencapaian sebenar seseorang kanak-kanak cacat penglihatan tersebut.

2.0 Perkembangan kognitif

Kanak-kanak yang mengalami kecacatan penglihatan perlu diberi rangsangan untuk meningkatkan perkembangan kognitif melalui perhubungan dan membuat perkaitan diantara penafsiran maklumat yang boleh diperolehi dari deria. Sebagai contoh klasifikasi, hubungkait, pengetahuan ruang dan ingatan.
Menurut Foulke (1962) Pemahaman mengenai sesuatu konsep adalah sukar bagi seseorang kanak-kanak cacat penglihatan jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal. Deria sentuh yang dimiliki oleh mereka tidak menggambarkan sesuatu konsep yang jelas seperti konsep dua dan tiga demensi. Maklumat yang diperoleh daripada komunikasi merupakan suatu aset penting yang dapat membantu kanak-kanak ini membentuk pengalaman mereka, halangan sensori menjadikan kanak-kanak ini lebih self-oriented dan berdikari.
Wills (1965) memberikan pendapat dengan menyertakan tujuh contoh untuk menjelaskan berkenaan dengan masalah yang wujud dari perspektif psikoanaltik. Diantaranya ialah, kanak-kanak cacat penglihatan mempunyai lebih kebimbangan mengenai fantasi dan sukar membezakan fantasi dan keadaan realiti, sukar untuk mengumpul dan membandingkan pengalaman yang berbeza tentang sesuatu situasi atau kejadian, lemah dalam memenuhi konsep yang secukupnya, mencari arah atau punca berpandukan gema, perlu mengambil masa yang panjang untuk memahami objek dengan mengaitkannya dengan anggota badan mereka, bersifat animism, dan lebih gemar melahirkan perasaan kepada objek-objek yang inanimate. Pendapat ini disokong oleh Slavin (2003) yang mengutarakan perihal psikologi kanak-kanak yang mempunyai perkaitan dengan tahap kanak-kanak cacat penglihatan.
Piaget telah memberikan beberapa kategori asas tentang perkembangan kognitif, walau bagaimanapun Wolff (1966) memberikan beberapa persoalan mengenai perkembangan kognitif bagi kanak-kanak cacat penglihatan jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal.

2.1 Klasifikasi

Klasifikasi merupakan asas kepada proses kognitif. Ia menerangkan bagaimana kanak-kanak mengelaskan objek dan dimensi objek. Kajian yang dijalankan oleh Faulke (1964) dengan menggunakan beberapa siri blok yang berbeza dimensi seperti Loceng dengan tiada loceng, penglihatan (hitam dengan putih) dan beberapa tekstur dimensi. Beliau mendapati jika kanak-kanak ini diberikan akses dan pengetahuan tentang sesuatu persoalan dan dibandingkan dengan perbandingan umur, ia memberikan keputusan yang sama dengan kanak-kanak normal.
Haggins membincangkan implikasi kepada perkembangan kognitif terhadap kecacatan penglihatan ialah, kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan ini sukar untuk menerima maklumat atau data serta menilai sesuatu perkara yang abstrak dari sekeliling dan memerlukan beberapa pengubahsuaian dan penstrukturan bagi memaksimumkan penggunaan deria bagi tujuan tersebut. Hetwell berpendapat, kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan penglihatan akan ketinggalan 3 tahun pencapaian dalam sesuatu bidang jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal dari segi konsep tugasan yang melibatkan saiz, ukuran, dan berat.
Kajian berkenaan klasifikasi menunjukkan kanak-kanak cacat penglihatan mengalami perkembangan yang lewat tentang membentuk konsep seperti konsep arah; di depan, di belakang, di tepi, diantara. Mereka juga mengalami kesukaran memahami konsep abstrak seperti tinggi dan warna. Kemungkinan ini berlaku adalah disebabkan oleh limitasi dalam pengalaman mengenal bentuk dan permukaan. Perkara ini akan mendatangkan kesan dalam perkembangan kemahiran mengklasifikasi bagi kanak-kanak cacat penglihatan ini.

2.2 Perkaitan (Conservation)

Istilah ini merujuk kepada pemahaman tentang ciri-ciri atau sifat sesuatu
seperti jisim, bentuk dan bilangan. Kanak-kanak sukar membuat perkaitan dan membezakan sesuatu perubahan yang terjadi sebagai contoh air boleh berubah-ubah bentuk mengikut bekas tetapi masih boleh mengekalkan jumlahmya. Menurut Canning (1957) beliau telah menjalankan ujian ke atas 45 orang kanak-kanak cacat penglihatan yang berumur 3.5 hingga 10 tahun. Kajian beliau adalah hampir sama seperti yang dilakukan oleh Piaget dimana penggunaan air di dalam pelbagai bentuk bekas diaplikasikan untuk kanak-kanak ini. Hasil ujian yang dijalankan menunjukkan kanak-kanak ini masih tidak boleh membuat pertautan tentang isipadu air yang diuji walaupun sudah berusia lebih dari 10 tahun. Keputusan yang diperoleh bertentangan dengan ujian yang dilakukan oleh Piaget.
Perkaitan tentang nombor atau jumlah merupakan keupayaan untuk mengekalkan penilaian terhadap sesuatu jumlah daripada dua kumpulan item walaupun salah satu kumpulan item itu sudah berkurangan atau musnah. Sebagai contoh dua barisan item dengan jumlah yang sama pada setiap barisan. Pada mulanya kanak-kanak menyatakan jumlah kedua-dua barisan itu sama tetapi apabila salah satu sudah diubah, kanak-kanak ini akan membuat percanggahan tentang jumlah yang wujud pada kedua-dua barisan item itu tadi.
Inhelder (1969) menyatakan, kelewatan dalam membuat pertautan atau perkaitan di kalangan kanak-kanak cacat penglihatan adalah disebabkan oleh faktor sensorimotor yang lewat berkembang. Ini adalah kerana setiap kanak-kanak perlu menggunakan penglihatan untuk melakukan peniruan dan banyak perkara dilakukan dengan bantuan penglihatan, apabila penglihatan tiada mereka akan bergantung sepenuhnya pada deria penderangan dan sentuhan. Kenyataan ini di sokong oleh Gottesman (1976) yang menambah ujian dengan menggunakan bentuk-bentuk geometri, beliau mengatakan beberapa terminology dan proses intergratif dalam pengajaran perlu ditambah untuk membantu mengurangkan kelewatan ini.


3.0 Perspektif dalam kajian perkembangan kognitif

Kesimpulan secara umum sering yang diperoleh dari perbandingan diantara perkembangan kanak-kanak cacat penglihatan dengan kanak-kanak normal menurut teori Piaget sering menunjukkan perbezaan yang nyata. Kanak-kanak normal sering mendahului dalam setiap pencapaian tahap jika disandarkan pada skala umur. Ia adalah suatu perkara yang signifikan kerana daya penglihatan membekalkan maklumat yang lebih dominan dalam kehidupan.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang kurang berkaitan dengan penggunaan penglihatan di mana kedua-dua kumpulan kanak-kanak ini menunjukkan kesamaan dalam prestasi pembikinannya. Sebagai contoh dalam menghasilkan beberapa jenis kraftangan, kesamaan kemahiran boleh dikatakan sama. Selain itu dalam aktiviti harian, kemahiran menyuap makanan ke mulut, mandi, memakai kasut, memakai baju, dan lain-lain menunjukkan tahap penguasaan yang sama.
Sentuhan bagi kanak-kanak cacat penglihatan mungkin tidak memberikan fungsi yang sama jika dibuat perbandingan dengan kanak-kanak normal. Sentuhan mungkin memberikan lebih maklumat dan perbezaan tentang persekitaran.

3.1 Gambaran (imagery)

Keupayaan memberikan gambaran atau menggambarkan sesuatu objek atau persekitaran berhubung kait rapat dengan penglihatan. Ini dibuktikan oleh Fernald (1913) yang telah menguji dua orang pelajarnya. Salah seorang daripada responden kajian dilahirkan cacat penglihatan (sampel A) dan seorang lagi mempunyai penglihatan terhad (sampel B). Keputusan ujian menunjukkan bahawa (sampel A) tidak pernah menggunakan gambaran visual berbanding (sampel B). Kajian ini juga disokong dengan dapatan yang hampir sama. Remaja yang dilahirkan cacat penglihatan mempunyai capaian yang berbeza dengan remaja yang mengalami kebutaan selepas berusia tiga tahun dimana sesiapa yang mempunyai pengalaman melihat mampu untuk memberikan gambaran tentang sesuatu perkara (Sylvester, 1913). Halls (1981a) mengatakan perbezaan keupayaan dua kumpulan kanak-kanak dengan pencapaian penglihatan yang berbeza juga menggambarkan tahap perlakuan mereka.

4.0 Gambaran dan tingkahlaku spatial

Pengetahuan berkaitan ruang dan arah ini melibatkan konsep seperti di hadapan, di tepi, di atas dan di bawah. Ia juga melibatkan pemahaman tentang persekitaran, struktur-struktur objek dan juga keupayaan menggunakan perkataan-perkataan spatial dalam ayat (Tufenkjian, 1971). Pengetahuan tentang ruang dan arah ini sangat penting untuk memahami persekitaran bagi seseorang kanak-kanak itu mencari jalan, memahami peta serta membina sesuatu binaan dengan pelbagai objek yang berbeza. Penggunaan Kephart skale dapat membantu dalam latihan mengenal persekitaran di dalam dan di luar rumah, perabot, rumah jiran, mengenal jalan, dan Bandar.
Bagi mengatasi masalah ini Hapeman (1967) telah mencadangkan agar pembelajaran mobiliti diajar kepada kanak-kanak ini seawal usia tiga tahun. Latihan ini hendaklah merangkumi pelbagai aspek seperti terminologi arah, hubungan anggota badan, hubungan anggota badan dengan objek lain, dan hubungan objek dengan objek (seperti cawan dan piring). Latihan ini dicadangkan dilakukan selama tiga bulan dan merangkumi seksyen lisan, identifikasi, manipulatif, dan latihan mengenal (Hill, 1971).
4.1 Gambaran dalam mimpi

Berbagai pendapat dan kajian yang dilakukan ke atas kanak-kanak dan remaja cacat penglihatan untuk mengatahui kehadiran gambaran objek di dalam mimpi mereka. Deutsch (1928) menyatakan mimpi kanak-kanak ini dikatakan tidak lengkap kerana sukar menggambarkan kehadiran gambaran sesuatu objek. Kenyataan ini disokong oleh kajian Singer dan Streiner (1966) dengan menyatakan kandungan mimpi kanak-kanak normal adalah lebih imaginatif dari kanak-kanak cacat penglihatan.
Walau bagaimana pun kecenderungan menceritakan tentang mimpi di kalangan kanak-kanak cacat penglihatan adalah lebih kepada penggunaan bahasa visual yang mendalam untuk menafsirkan mimpi mereka.

5.0 Kreativiti

Daya kreativiti seseorang dikatakan berkait rapat dengan tahap rangsangan pemikiran mereka. Kajian Halpin (1972) mendapati bahawa kanak-kanak cacat penglihatan adalah lebih kreatif dalam menggunakan manupulasi lisan berbanding kanak-kanak normal. Pitman (1965) berpendapat bahawa individu cacat penglihatan adalah lebih kreatif dalam menghasilkan muzik, walau bagaimanapun kebolehan kedua-dua kumpulan adalah sama.




5.1 Bermain

Bermain adalah salah satu daripada keperluan untuk melahirkan kreativiti. Kanak-kanak cacat penglihatan mempunyai cara tersendiri untuk bermain. Kajian menunjukkan terdapat kekurangan dalam melahirkan kreativiti di kalangan kanak-kanak cacat penglihatan berbanding dengan kanak-kanak normal (Sandler and Wells, 1965). Ada juga kanak-kanak ini menunjukkan minat untuk bermain dengan barang mainan dan objek kaku. Tait (1972) mencadangkan agar pengajaran diberikan untuk merangsang kanak-kanak ini bermain secara aktif, kreatif dan berdikari dalam bermain secara spontan.
Wills (1968) mencadangkan dua perkara pokok yang perlu untuk merangsang permainan. Pertama ialah, rangsangan berterusan diberikan kepada kanak-kanak untuk melahirkan bermain menggunakan alat permainan. Kedua ialah, penerangan yang bersesuaian diberikan kepada kanak-kanak ini kerana ada diantara mereka amat takut dengan sesuatu disebabkan imaginasinya, seperti takutkan patung beruang kerana berpendapat patung beruang itu hidup seperti beruang.
Permainan bagi kanak-kanak cacat penglihatan mempunyai limitasi kerana ia memerlukan beberapa pengubahsuaian. Walau bagaimanapun, minat untuk bermain adalah sama dan ia perlu dipupuk sejak awal supaya mereka dapat mengadaptasikan permainan sebagai keperluan yang dikongsi bersama dengan kanak-kanak normal. Pengajaran yang efektif diperlukan untuk membimbing kanak-kanak ini bermain secara lebih kreatif dan imaginatif.




6.0 Kepintarcerdasan dan Ujian IQ

Terdapat beberapa kajian dan tinjauan berkenaan dengan pengujian IQ di kalangan kanak-kanak cacat penglihatan. Terdapat dua aspek utama pengujian iaitu ujian lisan (Verbal test) dan ujian perlaksanaan (Performance test) (McCall, 1999). Menurut Moore (1987) terdapat 2 kategori iaitu ujian yang dibina secara untuk semua populasi dan ujian yang dibina khas untuk golongan cacat penglihatan.
Walau bagaimana kedua-dua mempunyai kekuatan dan kelemahan bergantung kepada faktor-faktor tertentu seperti saiz kumpulan manusia, budaya setempat dan keupayaan ujian untuk menerangkan tentang criteria dunia sebenar. Ujian kepintarcerdasan hanya menguji satu komponen iaitu akademik tidak kepada mekanikal, artistik, dan kepintaran sosial.
Ujian ini sukar dilakukan kepada golongan cacat penglihatan kerana terlalu banyak subtest yang menggunakan daya penglihatan sebagai alat pengujian. Wechler Adult Intelligence Scale-Revised (WAIS-R) digunakan untuk menguji kepelbagaian kepintaran untuk individu normal berusia 16-74 tahun (Lezak, 1983). Ujian yang sama dijalankan kepada individu cacat penglihatan yang merangkumi ujian lisan menunjukkan tiada beza keupayaan yang signifikan di kalangan mereka (Vander Kolk, 1982). Pendapat ini juga disokong oleh Jordan & Felty (1968) iaitu tiada beza yang signifikan dalam pencapaian lisan diantara individu rabun dan buta.
Selain WAIS-R, Ujian Haptic Intelligence Scale for the Adult Blind (Haptic) dan Stanford-Ohwaki-Kohs Block Design Intelligence Test juga boleh dijalankan. Haptic merupakan ujian untuk mengantikan subtest dalam WAIS dan WAIS-R untuk digunakan bagi individu buta. Stanford-Ohwaki-Kohs Block Design Intelligence Test, dibina pada 1923 sebagai ujian pengukuran nonverbal dalam penyelesaian masalah. The Cognitive Test for the Blind (CTB) digunakan merangkumi 5 subtest lisan iaitu auditory analysis, Immediate Digit Recall, Language Comprehension and Memory, Letter Number Learning and Vocabulary.

6.1 Ujian Lisan (Verbal test)

Ujian yang biasa digunakan ialah Interim Hayes-Binet dimana ia berasaskan kepada Stanfort Test (Hayes, 1942). Ujian merupakan ujian yang standard untuk kanak-kanak cacat penglihatan seawall umur 6 tahun. Ujian Perkin-Binet yang telah diubahsuai oleh Davis (1970, 1980) juga merupakan ujian yang sesuai digunakan dan ia merangkumi skala WISC. Diantara pengujian yang digunakan ialah maklumat, pemahaman, arimatik, kesamaan, perbendaharaan kata dan Digit Span scales.
Goldman (1970) menyatakan beberapa masalah timbul dari perlaksanaan ujian lisan ini. Diantaranya ialah pengukuran lisan kurang menggambarkan keupayaan golongan cacat penglihatan, ia lebih kepada individu normal. Selain itu penggunaan ujian ini tidak bersandarkan kepada pengalaman seperti aktiviti dalam kehidupan harian dan penggunaan yang mencakupi kepelbagaian keupayaan (Dauterman, Shapiro dan Suinn, 1967).

6.2 Ujian Perlaksanaan (Performance test)

Boehm (1971) telah membina satu set ujian yang dikenali sebagai Boehm Test of Basic Concepts (BTBC). Ujian ini adalah adaptasi daripada ujian untuk kanak-kanak normal dalam mengingat sesuatu gambar. Dalam konteks cacat penglihatan ujian ini bertujuan untuk mengetahui keupayaan kanak-kanak menghubungkan karektoristik antara item yang sukar dan kemudian dibandingkan dengan pengguna yang normal. Keduanya ialah bertujuan untuk menguji menggunakan hubungtara TTBC (Tactile Test of Basic Concepts) dalam pelbagai variasi seperti gred penempatan, umur, jantina dan kecenderungan.
Ujian ini menggunakan pengubahsuaian gambar kepada gambar timbul. Kebiasaannya penggunaan bentuk geometri digunakan. Boehm telah menjalankan pengujian ke atas 75 orang kanak-kanak, 25 adalah pengguna Braille sepenuhnya dan yang lain akan diuji dengan menggunakan blindfold sebagai bahantara. Keputusan ujian menunjukkan terdapat perbezaan pencapaian jika dibandingkan kanak-kanak normal pada kedua-dua ujian. Pemahaman tentang konsep arah seperti ‘di hadapan, di tepi’ adalah lebih mudah berbanding ‘di tengah-tengah, separuh’.
Menurut Newland (1964, 1979) istilah ‘Intelligence’ dalam menguji kanak-kanak ini bukanlah sesuatu yang dilenyapkan sebagai tajuk utama tetapi ia lebih menilai adaptasi dan bezatara sesuatu situasi pembelajaran. Ujian BLAT uang dijalankan adalah untuk menguji proses. Tiga kategori permasalahan yang diuji merangkumi keupayaan untuk mengetahui secara keseluruhan beza diantara sesuatu item atau objek yang digunakan, mengenalpasti kesamaan antara sesuatu item atau objek dan mengetahui hubungkait antara seuatu item atau objek tersebut. Ujian ini adalah lebih baik dilakukan untuk kanak-kanak yang berusia lingkung 6 hingga 12 tahun.
Kesimpulan dari pelbagai ujian yang dijalankan didapati bahawa, pengujian lisan IQ merupakan asas kepada ujian perlaksanaan dimana ia memberikan keyakinan yang lebih kepada kanak-kanak cacat penglihatan sebelum menjalani sesuatu pengujian. Walau bagaimanapun, ujian yang terdapat di dalam WISC perlu pengubahsuaian kerana ia kurang memberi manafaat kepada kanak-kanak cacat penglihatan, pengorientasian ujian adalah perlu untuk memastikan bahawa sesuatu keputusan yang sahih dapat diperoleh dan digunakan. Parker (1969) berpendapat, Weschler Preschool and Primary Scale of Intelligence (WPPSI) adalah lebih sesuai digunakan bagi kanak-kanak cacat penglihatan memandangkan kepada keperluan dari pelbagai aspek perlu diberikan pemberatan dalam menilai mereka.
Walau bagaimanapun pengalaman tentang persekitaran amat mempengaruhi keputusan sesuatu ujian. Ujian yang mempunyai keesahan yang tinggi memerlukan pertimbangan dalam pelbagai aspek dan mengikut keupayaan penglihatan individu yang hendak diuji.

7.0 Perbandingan kanak-kanak cacat penglihatan dan normal

Bagi menjalankan pengujian IQ dikalangan kanak-kanak cacat penglihatan ia memerlukan beberapa akses yang membolehkan pengujian tepat dapat dilakukan. Walau bagaimanapun, beberapa faktor utama perlu diambil kira. Ia merangkumi tahap penglihatan seperti buta penuh atau separuh dan bila terjadinya kebutaan. Bagi kanak-kanak yang dilahirkan dengan kecacatan penglihatan penuh, pengujian perlu menitikberatkan cara kanak-kanak itu mendapat maklumat dan pengalaman, jika kanak-kanak itu mengalami kebutaan selepas beberapa tahun kelahiran mungkin pengalaman seperti warna dan beberapa konsep asas seperti bentuk telah diketahuinya.
Pengujian seperti The Kohs Blocks merupakan salah satu bentuk ujian yang boleh dijalankan dengan baik dimana variasi tekstur dan warna merupakan medium utama bahan pengujian. Kanak-kanak cacat penglihatan lebih mudah mengadaptasi item yang digunakan berbanding kanak-kanak normal yang menggunakan blindfold semasa menjalankan pengujian.
Tillman (1967) mengatakan, kelemahan skor kanak-kanak cacat penglihatan dalam sesuatu ujian jika dibandingkan dengan kanak-kanak normal adalah disebabkan oleh penggunaan alatan yang tidak sesuai. Pengujian haruslah hanya melibatkan skor maklumat, arimatik, dan skala perbendaharaan kata. Walau bagaimanapun, penggunaan pengujian yang pelbagai dengan item pengujian yang pelbabai banyak membantu dalam menentukan tahap kepintaran seseorang kanak-kanak cacat penglihatan.

8.0 Kesimpulan

Tahap kognitif dan ujian kepintarcerdasan merupakan sesuatu yang sinonim untuk mengetahui tahap penguasaan atau pencapaian individu. Bagi individu yang mengalami kecacatan penglihatan, mereka memerlukan pengalaman untuk melakukan sesuatu ujian. Rentetan dari itu pemerolehan maklumat dari awal kelahiran dan pengayaan yang mantap diperlukan agar sesuatu ujian yang dijalankan mempunyai validiti yang tinggi. Keupayaan modul pengujian juga memerlukan pengubahsuaian yang mana menitikberatkan keperluan individu cacat penglihatan dalam menjalani pengujian. Oleh itu kepelbagaian ujian kepintaran diperlukan bagi mendapatkan keputusan yang boleh digunapakai untuk memberikan label kepada tahap pencapaian kognitif seseorang individu cacat penglihatan.

1 comment:

  1. promotion !!!!
    http://says.my/chloeyyan/reza-Kedah
    http://says.my/chloeyyan/maybankard
    http://says.my/chloeyyan/celcom-reload-frequency
    http://apps.facebook.com/petronascny/
    http://says.my/chloeyyan/mas-deals

    if you wish to join, click here.. thx~
    http://says.my/chloeyyan/invite

    ReplyDelete